Penyusutan Ruang Sivik di ASEAN

Penyusutan Ruang Sivik di ASEAN

Himpunan Bersih di hadapan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur — Image Credits

Click here for English version of the article

Kepelbagaian sejarah dan keadaan geopolitik Asia Tenggara melahirkan struktur politik tempatan yang pelbagai. Disebabkan globalisasi dan transformasi sosial, sesetengah negara Asia Tenggara mengadaptasi sistem demokrasi. Bagaimanapun, masih ada yang mengekalkan pemerintahan kuku besi atau regim komunis.

Di sebalik perbezaan dalam struktur politik, negara-negara di Asia Tenggara berkongsi sifat yang sama, kewujudan penindasan kerajaan secara terang-terangan, menjadi ancaman kepada ruang sivik di rantau itu. Walaupun transformasi politik berlaku di rantau itu dengan kuasa politik lama dicabar kebangkitan pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil, masih terdapat keraguan tentang prospek masa depan ASEAN sebagai kumpulan serantau yang boleh menyediakan ruang demokrasi bagi perbezaan pendapat.

Sejak pengenalan Piagam ASEAN pada 2007, reformasi politik dan demokrasi berlaku di ASEAN di bawah payung tiga teras dalam Komuniti ASEAN. Akan tetapi ianya berlaku dengan perlahan. Sesetengah prinsip dalam Piagam itu masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Pada tahap tertentu ianya hampir diabaikan sepenuhnya bagi sesetengah anggota ASEAN.

Ianya semakin jelas terutamanya apabila terdapat isu melibatkan hak asasi manusia, demokrasi, kebebasan asas, pentadbiran baik dan kedaulatan undang-undang.

Kini, ketika organisasi serantau itu menyambut ulangtahun ke-50 dan berjanji menjadi ASEAN yang berasaskan peraturan, berorientasikan rakyat dan berpaksikan rakyat, terdapat kebimbangan mengenai ruang sivik yang semakin menyusut di rantau itu. Sesetengah negara anggota terus menekan dan menggunakan undang-undang yang menyekat kebebasan berekspresi dan hak untuk berhimpun secara aman sebagai cara untuk memantau dan mengawal aktiviti kumpulan masyarakat sivil.

Gelombang Kuning: bagaimana ia bermula?

Malaysia merupakan salah sebuah negara pengasas ASEAN dan memainkan peranan aktif dalam kumpulan serantau itu. Di Malaysia, demokrasi ialah pertandingan dalam sistem politik dicemari autoritarianisme dan manipulasi pilihan raya. Politik Malaysia bukan sahaja memperlihatkan persaingan di antara parti-parti politik tetapi dicirikan dengan peningkatan rasa tidak puas hati awam dan protes sosial dengan tuntutan berbeza.

Sejak mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia merupakan regim autoritarian berpilihan raya yang membenarkan pilihan raya kompetitif (Ufen, 2012). Sarjana mengkategorikan sistem campuran demokrasi dan autoritarianisme dalam sistem politik Malaysia dengan pelbagai gelaran. Bagaimanapun pelbagai gelaran ini memperlihatkan dominan negara terhadap masyarakat.

Sesetengah penulisan sarjana mengkelaskan Malaysia sebagai “quasi-democracy” (Ahmad, 1989) atau “separa demokrasi” kerana ia masih mempraktikan sebahagian amalan demokrasi ala Westminster. Means (1996) pula mengkategorikan sistem politik di Malaysia sebagai “autoritarianisme lembut” atau “separa demokrasi,” sementara Giersdorf dan Croissant (2011) mengkelaskannya sebagai “autoritarianisme yang kompetitif”.

Sejak 2007, gelombang demonstrasi massa dianjurkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berjaya menarik minat terhadap politik pilihan raya di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. Pada mulanya dikenali sebagai Jawatankuasa Bertindak Bersama bagi Reformasi Sistem Pilihan Raya (JACER) pada 2005, Bersih merupakan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang beraspirasi untuk mendesak reformasi menyeluruh proses pilihan raya di Malaysia.

Gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan terbesarnya di parlimen semasa Pilihan Raya Umum 2004 yang membangkitkan kesedaran dalam kalangan parti pembangkang. Tanpa desakan untuk pilihan raya bersih dan adil, mereka tidak berpeluang untuk berjaya.

Menyedari realiti sistem pilihan raya dalam negara, NGO mula bergabung tenaga melakukan sesuatu untuk pilihan raya bersih dan adil yang akhirnya menjadi gerakan Bersih. Pada peringkat awal, Bersih merupakan gerakan berasaskan parti pembangkang yang akhirnya bertukar menjadi gerakan tidak berparti dan “bebas” daripada pengaruh parti politik pada April 2010, dua tahun selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Himpunan besar-besaran untuk reformasi pilihan raya

Penubuhan gerakan Bersih agak menarik, sesetengah pihak menganggapnya sebagai usaha untuk menjatuhkan gabungan pemerintah BN. Bagaimanapun, apabila saya menemubual beberapa aktivis gerakan itu, mereka menegaskan ianya bebas politik dan semata-mata mensasarkan reformasi pilihan raya.

Setakat ini, Bersih sudah menganjurkan lima himpunan jalanan pada 2007, 2011, 2012, 2015 dan 2016 walaupun situasi sebegini bukanlah aliran biasa di Malaysia. Setiap protes melahirkan hasil yang berbeza. Lima himpunan anjuran Bersih dilihat sebagai penentangan utama terhadap pihak berkuasa dan ancaman kepada legitimasi kerajaan.

Turut dikenali sebagai “Gelombang Kuning” (Mustaffa, 2008), aksi besar-besaran dan demonstrasi jalanan bukan hanya dianjurkan di pusat bandar Kuala Lumpur, tetapi turut diadakan di bandar-bandar lain di seluruh dunia. Dianjurkan rakyat Malaysia di luar negara yang menggelar diri mereka sebagai Global Bersih, mereka membawa protes ini ke pentas dunia.

Gerakan Bersih boleh dikatakan sebagai simbol berpengaruh bagi reformasi pilihan raya dan gerakan pro-demokrasi. Banyak faktor yang menyebabkan ledakan ketidakpuasan hati dengan politik di Malaysia, yang membawakan peranan penting gerakan sosial seperti gerakan Bersih.

Beberapa faktor menyebabkan ledakan ketidakpuasan hati di Malaysia termasuk rasuah secara terang-terangan, kronisme, perundangan yang tidak adil, salah urus institusi dan kekecewaan awam terhadap parti pemerintah (Khoo, 2014). Ketidakpuasan hati terhadap tindakan tidak popular kerajaan meningkatkan frekuensi demonstrasi jalanan.

Kekecewaan individu-individu ini akhirnya diterjemahkan kepada tindakan kolektif dan bertukar menjadi azam yang mendorong orang ramai ke jalanan ketika Bersih pertama kali menganjurkan perhimpunan pada 10 November, 2007. Pengaruh Bersih berkembang bukan sahaja melalui identiti dan rangka yang berasal daripada kemarahan awam; tetapi turut dipengaruhi gabungan pembangkang yang bersatu dan kerjasama di antara parti pembangkang dan beberapa kumpulan reformasi pilihan raya di Malaysia.

Gerakan Bersih di hadapan Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. — Image Credits

Apakah demontrasi mampu merubah Malaysia?

Semasa demonstrasi pertama dianjurkan pada 10 November, 2007, penganjur berdepan dengan pelbagai intimidasi polis. Mereka berdepan dengan sekatan jalan raya dan gas pemedih mata. Sebagai tambahan, Kementerian Dalam Negeri mempertikaikan apakah gerakan itu sah dari segi undang-undang kerana ia tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Disebabkan perhimpunan pertama Bersih dianjurkan menjelang Pilihan Raya Umum 2008, ia dikatakan sebagai salah satu sebab mengapa gabungan pemerintah BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen, buat pertama kali sejak 1969. Himpunan kedua diadakan pada 9 Julai 2011. Pada ketika itu keadaan politik sudah berubah dan keadaan menjadi tegang menjelang himpunan itu.

Polis mengenakan pelbagai sekatan: jalan masuk ditutup di sesetengah tempat dan 91 orang termasuk pemimpin pembangkang dan aktivis disekat daripada memasuki ibu kota Kuala Lumpur. Kedua-dua polis dan kerajaan dikritik masyarakat tempatan dan antarabangsa disebabkan penunjuk perasaan mengatakan ianya tidak adil dan berat sebelah. (Khoo, 2016).

Sebagai tindak balas terhadap perhimpunan itu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen mengenai Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya (PSC) pada Oktober 2011 bagi mengetengahkan isu-isu pilihan raya. Jawatankuasa itu mengeluarkan 22 cadangan termasuk penggunaan dakwat kekal bagi menggelakkan pengundian berulang.

Cadangan ini diimplementasikan pada Pilihan Raya Umum 2013. Disebabkan reformasi pilihan raya yang dilakukan tidak berapa signifikan, Gerakan Bersih menganjurkan satu lagi himpunan raksasa. Himpunan ketika itu diadakan pada 20 April, 2012 dan berlaku pertembungan di antara polis dan penunjuk perasaan. Beberapa insiden ganas seperti kereta polis diterbalikkan dilaporkan pada ketika itu (Khoo, 2016).

Di antara himpunan kedua dan ketiga, kerajaan memperkenalkan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) sebagai langkah untuk mengawal himpunan rakyat. Akta itu berkuatkuasa lima hari sebelum himpunan ketiga. Penganjur menganjurkan himpunan keempat pada 2015, tidak berapa lama selepas Pilihan Raya Umum 2013, yang tercemar dengan dakwaan manipulasi persempadanan semula.

Himpunan itu berlangsung selama dua hari dari 29 hingga 30 Ogos (Khoo, 2016). Tidak berapa lama selepas itu, Bersih membuat keputusan untuk menganjurkan himpunan kelima pada 19 November, 2016. Yang menarik tentang himpunan 2016 ialah kemunculan gerakan Baju Merah sebagai pencabar Bersih.

Komunikasi melalui media sosial

Di awal pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Bersih mempertingkatkan advokasi reformasi pilihan raya menggunakan media sosial, disebabkan mereka tidak mendapat akses kepada televisyen dan radio, terutamanya untuk memobilisasi penyokong. Himpunan dan komunikasi massa menggunakan media sosial menjadi pilihan strategik untuk mobilisasi disebabkan ruang terhad diberikan kepada gerakan itu untuk berkembang. (Khoo, 2014).

Seperti dikatakan seorang aktivis yang kini bertukar menjadi ahli politik, gerakan Bersih tidak lahir dalam vakum; sebaliknya ia dibina dari elemen yang sudah ada sebelum ini dan digunakan sebagai momentum untuk menggerakan gerakan itu. Walaupun gabungan pemerintah BN berdepan dengan cabaran yang sistematik, mereka masih boleh menekan penunjuk perasan dengan mengawal ruang sivik, di samping menghentikan perubahan politik. Walaupun demonstrasi dianjurkan secara ekstensif, kesan jangka panjangnya masih tidak menentu.

Sejak ditubuhkan secara rasmi, gerakan Bersih sudah membuktikan ianya lebih daripada sekumpulan orang yang mendesak reformasi pilihan raya. Popularitinya berjaya menukar gerakan itu sebagai gerakan sosial yang penting di Malaysia. Ia telah menyumbang besar dalam meningkatkan tahap kesedaran politik, terutama di kalangan pengundi muda.

Gerakan itu secara positifnya mempengaruhi sikap rakyat Malaysia terhadap pilihan raya, tidak kira apa kecenderungan politik mereka. Dahulu, rakyat Malaysia dikenali sebagai tidak mengambil peduli dan berpuas hati dengan pilihan raya termasuk politik negara. Bagaimanpun ianya kini berubah dan tidak dapat dinafikan. Bersih berjaya mencetuskan penglibatan rakyat di dalam politik. Akan tetapi, hasilnya tidak begitu baik dari segi pilihan raya dan politik disebabkan tekanan berterusan daripada kerajaan.

Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) selama 11 hari disebabkan himpunan Bersih 2016 (Yiswaree and Ida, 2016). Terbaru, polis kini menyiasat tiga staf Bersih kerana dikatakan gagal menghantar notis 10 hari untuk himpunan bakar lilin di Dataran Merdeka sebagai solidariti terhadap penahanan Maria, mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Kow, 2017).

Satu contoh dari Negara ASEAN, "Kawasan Ucapan Bebas" Speaker's Corner terkenal di Hong Lim Park, Singapura — Image Credits

Cabaran ruang sivik

Di sesetengah negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, peranan parti politik dan tahap tekanan kerajaan adalah dua elemen penting dalam menentukan ruang sivik terbuka atau tertutup. Di sebalik peningkatan ketidakpuasan hati awam dan rungutan terhadap polisi kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri Najib Razak, Malaysia masih stabil secara relatifnya, regim separa authoritarian. 

Ini menjelaskan mengapa regim berterusan memegang tampuk kuasa. Walaupun himpunan dianjurkan gerakan Bersih semakin besar sepanjang dekad ini, ketakutan rakyat Malaysia masih sama kerana tekanan daripada kerajaan masih ada.

Dengan kemajuan teknologi dan media sosial di abad ke 21, ketidakpuasan awam dan ruang sivik kini lebih mudah digerakkan berbanding dahulu. Bagaimanapun, kawalan berterusan terhadap ruang sivik dan Internet melalui undang-undang mensasarkan untuk menyekat kebebasan berekspresi dan bermaklumat, termasuk kebebasan berhimpun dan berpersatuan agak membimbangkan.

Kebimbangan masyarakat sivil kerana tiada pengiktirafan daripada anggota negara ASEAN terhadap peranan mereka di rantau ini seringkali tidak diendahkan. Walaupun Komuniti ASEAN berhasrat untuk berpaksikan rakyat dan berorientasikan rakyat dengan mendahulukan rakyat, ruang untuk masyarakat sivil masih disekat.

2017 merupakan tahun kritikal bagi ASEAN kerana ia sambut ulangtahun ke-50; sudah sampai masanya bagi Asia Tenggara untuk membuktikan ianya merupakan rantau yang menekankan keutamaan rakyat ASEAN. Memberikan pengiktirafan terhadap masyarakat sivil bukanlah satu ancaman tetapi mereka merupakan sekutu penting bagi memastikan hak asasi manusia rakyat ASEAN terbela merupakan sesuatu yang kritikal kepada pembangunan dan kemampanan Komuniti ASEAN.

Rujukan

Ahmad, Zakaria. (1989): Malaysia: Quasi democracy in a divided society. In Larry Diamond, Juan J. Linz & Seymour Martin Lipset (Eds.),

Democracy in developing countries: Asia (Vol. 3). Boulder, CO: Lynne Rienner Publishers.

Giersdorf, Stephan & Croissant, Aurel. (2011, April): Civil society and competitive authoritarianism in Malaysia. Journal of Civil Society, 7(1), 1-21.

Khoo, Ying Hooi. (2014): Electoral reform movement in Malaysia: Emergence, protest, and reform. Suvannabhumi: Multi-Disciplinary Journal of Southeast Asian Studies, 6(2), 81-101.

Khoo, Ying Hooi. (2016): Malaysia’s 13th general elections and the rise of electoral reform movement. Asian Politics & Policy, 8(3), 418-435.

Kow, Gah Chie. (2017): Bersih trip to be probed over candlelight vigil last November. Malaysiakini. 12 May 2017. [http://www.malaysiakini.com/news/381975]

Means, Gordon P. (1996, October): Soft authoritarianism in Malaysia and Singapore. Journal of Democracy, 7(4), 103-117.

Mustaffa, Faisal. (2008): Selak: Bersih’s journey towards clean and fair elections. Kuala Lumpur: Research for Social Advancement (REFSA).

Ufen, Andreas. (2012): Party systems, critical junctures and cleavages in Southeast Asia. The Southeast Asia Research Centre (SEARC) Working Paper.

Yiswaree, Palansamy and Ida Lim. (2016): Maria released from Sosma detention. The Malay Mail Online. 28 November 2016. [http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/maria-released-from-s...

Note: This article was translated from English into Bahasa Malaysia by Mr. Amin Iskandar

Related Content

  • Shrinking Civic Space in ASEAN

    2017 is a particularly critical year for ASEAN as it celebrates its 50th anniversary; it is timely for the Southeast Asia to prove itself as a region that emphasizes putting ASEAN’s people first. Such recognition of civil society, not as a threat, but as an important ally in ensuring the realisation of human rights for all Asean citizens is critical to the development of a sustainable ASEAN Community.

    By Khoo Ying Hooi